Si Tanggang Moden
‘Dua anakku Si Tanggang’
Oleh Nazarali Saeril
KUALA LUMPUR: Dua anak derhaka sanggup memperdayakan ibu mereka berusia 71 tahun kononnya akan dibawa pulang ke rumah, walhal sebenarnya wanita itu dihantar ke pusat penjagaan orang tua kendalian bukan Islam.
Ini menyebabkan warga emas itu gagal beribadat dengan sempurna kerana tiada kemudahan berbuat demikian di pusat penjagaan terbabit.
Warga emas bergelar hajah sebelum itu dibenarkan pulang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menerima rawatan penyakit darah tinggi.
Dia dijemput dua anaknya serta dijanjikan akan dibawa pulang ke rumah mereka. Sebaliknya, dia terus dihantar ke rumah jagaan orang tua terbabit di ibu negara.
Perbuatan tidak berhati perut kedua-dua anak kesayangan warga emas itu hanya terdedah apabila adik-beradik wanita berkenaan menghantar surat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkaitan perbuatan dua ‘Tanggang Moden’ itu, kelmarin.
Melalui surat itu, adik warga emas berkenaan memaklumkan anggota keluarganya mula mengesyaki sesuatu tidak kena selepas tidak melihat kelibat kakaknya sejak dia keluar dari HKL, kira-kira dua bulan lalu.
“Kami bertanyakan mengenai saudara kami itu kepada kedua-dua anaknya tapi mereka enggan menjawab, malah seolah-olah cuba merahsiakan sesuatu.
“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, kami melakukan siasatan sebelum mendapat tahu kakak ditempatkan di rumah penjagaan orang tua bukan Islam di ibu kota sejak hampir dua bulan lalu,” katanya dalam surat aduan berkenaan.
Menurut adik mangsa, mereka sekeluarga bimbangkan nasib kakaknya kerana suasana di pusat penjagaan orang tua itu tidak memungkinkan dia melaksanakan suruhan agama dengan sempurna, selain khuatir dipengaruhi supaya melakukan perkara di luar batasan Islam.
Penulis surat berkenaan turut menyatakan, suami wanita itu sudah uzur dan mereka tidak menyalahkannya, namun terkilan dengan sikap anak derhaka terbabit yang sanggup memperlakukan ibu sendiri sedemikian rupa hanya kerana tidak mahu menjaganya.
Sementara itu, sumber Bahagian Risikan Jawi berkata, pihaknya menghantar pegawai ke pusat penjagaan orang tua itu untuk melakukan siasatan sebaik menerima aduan keluarga mangsa.
“Pegawai Jawi sudah dihantar ke rumah penjagaan terbabit untuk mendapatkan maklumat lengkap berkaitan kesahihan aduan berkenaan.
“Kami dapati aduan itu benar. Pegawai kami dapat bertemu dan bercakap dengan wanita berkenaan yang menangis teresak-esak kerana enggan tinggal di situ, selain kesal dengan sikap kedua-dua anaknya,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Menurut sumber itu, pegawai risikan Jawi pada mulanya menghadapi masalah untuk bertemu wanita itu kerana dihalang penjaga pusat jagaan terbabit yang memberi pelbagai alasan, tengah hari kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, selepas dimaklumkan kunjungan itu atas urusan rasmi, barulah pegawai Jawi dibenarkan bertemu warga emas berkenaan.
“Wanita itu mengadu dia tidak dapat menunaikan rukun agama kerana persekitaran yang tidak sesuai selain sering dimarahi dan ditengking penjaga.
“Jawi akan mengambil langkah sewajarnya untuk membawa wanita itu keluar dari pusat berkenaan dan menempatkannya di rumah penjagaan orang tua yang lebih sesuai,” katanya.
Sumber itu berkata, pihaknya terkejut apabila diberitahu kedua-dua anak warga emas terbabit meminta penjaga rumah itu supaya jangan membenarkan orang luar melawat atau membawa keluar ibu mereka dari situ, kecuali mereka berdua.
Katanya, risikan turut mendapati wanita berkenaan satu-satunya penghuni beragama Islam di rumah penjagaan orang tua yang bangunan dan persekitarannya amat daif.
Berikutan itu, katanya, Jawi akan menemui keluarga warga emas terbabit dalam masa terdekat untuk mengumpul lebih banyak maklumat bagi menyegerakan urusan membawa wanita itu keluar dari pusat penjagaan berkenaan.
No comments:
Post a Comment